Wednesday, August 22, 2012

Elak Tindakan Tidak Ikut Syariat Dalam Meraikan Aidilfitri

Menjadi kebiasaan masyarakat kita apabila tiba hari raya maka berbondong-bondong di pagi hari itu kaum muslimin menziarahi kubur di kalangan keluarga masing-masing. Dalam 360 hari setahun yang dipilih untuk menziarahi kubur semestinya 1 Syawal.

Apakah perbuatan ini satu sunnah daripada Nabi SAW? Apakah pernah Nabi melakukan ziarah kubur pada 1 Syawal seperti amalan masyarakat kita? Adalah menjadi sunnah dan amalan Nabi menziarahi kubur tetapi menziarahi kubur pada 1 Syawal tidak pernah satu pun riwayat yang menunjukkan Nabi melakukannya.

Mungkin ada yang bertanya apakah jika Nabi tidak menziarahi kubur pada 1 Syawal apakah kita juga tidak boleh melakukannya? Islam adalah agama yang disyariatkan sesuai pada setiap orang, zaman dan kena pada tempatnya. Islam mengajar kita mengurus perasaan dan emosi sesuai pada tempatnya. Ada masanya kita perlu bersedih, ada masanya juga kita perlu bergembira.

Ada masanya jua kita perlu membenci kerana Allah dan ada kalanya juga kita mencintai kerana Allah, ada ketikanya kita perlu berasa takut dan ada kalanya juga kita perlu berani. Semua perkara dan cara telah diajarkan dan disampaikan Nabi kepada kita semua.

Dalam hal berhari raya apakah Nabi tidak pernah menunjukkan caranya berhari raya ini. Bukankah Nabi menyuruh kita bergembira pada hari raya ini. Hari raya adalah lambang kemenangan Islam, fitrahnya dalam meraikan kemenangan semestinya dengan gembira bukan bersedih-sedihan.

Andai kita menziarahi kubur pada hari raya apakah akan timbul perasaan gembira? Pasti yang timbul adalah perasaan sedih dan kepiluan dalam mengenang waris yang telah meninggal dunia. Apakah dengan timbulnya perasaan sedih ini dianggap menepati apa yang Nabi tunjukkan? Sedangkan Nabi menyuruh kita agar meraikan hari raya ini dengan kegembiraan, bahkan kegembiraan yang kita dapati pada hari raya ini pula mendapat pahala di sisi agama.

Bahkan menziarahi kubur pada hari perayaan ini lebih kepada perbuatan Kristian dalam menyambut hari Natal dan juga amalan masyarakat Hindu apabila tiba Deepavali. Dikhuatiri kita menyerupai amalan sesuatu agama. Maka berhati-hatilah kita dalam beragama.

Seperti kata Nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum mereka adalah dari kaum itu.” (sahih, HR Abu Daud) Bahkan di kuburan tersebut kita tidak menjaga adab-adab berada di tanah perkuburan dengan duduk-duduk di atas tanah kuburan tersebut bahkan Imam Syafie mengharamkan duduk di atas kuburan dengan berlandas hadis Nabi: “Jika salah seorang kamu duduk di atas bara api yang membakar sampai menembusi pakaianmu lalu membakar kulitnya, masih lebih baik baginya daripada ia duduk di atas kuburan.” (Hadis Riwayat Muslim) Ada juga sebahagian umat Islam yang membawa makanan di tanah perkuburan untuk dijamu bersama sanak-saudara seolah-olah ingin merayakan hari raya di situ. Hal ini juga terdapat larangan Nabi agar menghindari dijadikan kuburan tempat meraikan hari raya. Seperti kata Nabi: “Janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat berhari raya.” (sahih, HR Ahmad dan Abu Daud) Imam Syafie di antara ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kuat memfatwakan kemakruhan dan keharaman membawa makanan untuk dimakan di tanah perkuburan seperti yang boleh dibaca dalam kitab I’anah al-tholibin.

Antara dalil lain yang melarang hal ini adalah Hadis Jarir al-Bajali ia berkata: “Kami para sahabat memandang berkumpul-kumpul di tempat mayat dan menyiapkan makanan sesudah kematian termasuk meratapi si mati.” (Hadis Hasan Sahih, Ibnu Majah dalam Bab Siyam) Tidak cukup dengan itu, dapat dilihat di antara kebiasaan kaum muslimin yang berada di tanah perkuburan ini mereka membaca al-Quran dan beberapa surah dengan harapan mudah-mudahan bacaan tersebut dapat memberikan bekalan kepada si mati di kalangan ahli waris mereka yang telah meninggal dunia.

Sedangkan perbuatan ini telah menyanggah hadis Nabi yang memberi amaran kepada kita dengan sabdanya: “Janganlah kalian menjadikan rumah kalian seperti kuburan.” (Hadis Muttafaq ‘alaih) Hadis Nabi ini memberi maksud kepada kita melalui perbahasan para ulama bahawa al-Quran itu hendaklah dibaca di rumah-rumah kita kerana rumah yang tidak dibacakan al-Quran seperti kubur, di mana kefahaman sebaliknya dapat kita fahami dari hadis ini, kubur bukanlah tempat kita membaca al-Quran di dalamnya. Lebih malang lagi sekiranya kita menyangka perbuatan membaca al-Quran dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati sebagai sesuatu yang menepati syariat. Imam Syafie dalam membantah amalan ini beliau menegaskan dengan berkata: “Sesungguhnya pahala bacaan al-Quran dan hadiah pahala tidak sampai kepada si mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha mereka.

Rasulullah tidak pernah menghukum sunnah umatnya dan tidak pernah mendesak mereka melakukan perkara tersebut dan tidak pula menunjukkan kepadanya walau melalui satu nas atau seruan.” (lihat Tafsir Ibnu Kathir Jilid ke-4) Upacara bermaafan Tidak cukup dengan itu kita melakukan upacara bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.

Bukanlah hal ini tidak baik tetapi ia dilakukan tidak kena pada masanya. Kerana majlis ini tidak lain akan mendatangkan juga kesedihan dan air mata. Adalah sesuatu yang akan menimbulkan kesedihan dan kepiluan dengan majlis bermaaf-maafan ini dan apabila kesedihan yang melanda maka secara automatiknya kegembiraan hari raya yang disyariatkan bergembira ini akan hilang.

Bahkan kita dianjurkan sentiasa memohon maaf andai telah melakukan kesilapan dan kesalahan, bukan hanya pada 1 Syawal sahaja. Sewajarnya kita memanfaatkan Ramadan dengan memohon keampunan kepada Allah dan kepada manusia yang telah kita lakukan kesilapan pada mereka bukannya dipilih pada 1 Syawal tersebut.

Membazir dan berlebih-lebihan Satu lagi perhatian yang perlu kita perbaiki ketika menyambut hari raya adalah hal berkaitan dengan persediaan yang melampau kadangkala membawa kepada pembaziran dan pemborosan. Hal ini dapat kita lihat dengan perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menghiasi rumah dengan segala macam perhiasan yang baru seperti langsir yang ditukar saban tahun, membeli perabot baru di luar kemampuan dengan cara berhutang, membeli dan menempah berpasang-pasang baju dan pakaian serta menyediakan segala jenis makanan dan kuih-muih yang boleh membawa kepada berlebih-lebihan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah menghambur-hamburkan hartamu secara boros. Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (surah al-Israk, ayat 26-27) Begitu juga dalam ayat yang lain Allah memberi peringatan yang bermaksud: “Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (surah al-A’raf, ayat 31)

Di samping itu juga dikhuatiri dalam kita berlebih-lebih dalam persiapan hari raya ini dapat juga menimbulkan maksiat kepada Allah seperti riak dengan menunjuk-nunjuk kemewahan yang kita miliki dan berbangga-bangga yang keterlaluan menyebabkan kita lalai dari mengingatkan kebesaran Allah di hari raya itu. Yang terbaik dalam menyediakan dan meraikan 1 Syawal kita adalah dengan bersederhana sesuai tuntutan Islam.

Karangan Asal Oleh Ahmad Tajuddin Idris Al-manhaji
Harian Metro

Sharing Is Caring :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...